Wednesday, July 22, 2009

Kandungan gula "jus kesihatan" terlalu tinggi

LONDON: Berbeza dari sangkaan ramai ibu bapa, kebanyakan minuman berasaskan buah untuk kanak-kanak yang dilabel ‘menyihatkan’ sebenarnya mengandungi lebih banyak gula berbanding Coca-Cola, kata pakar.

Ibu bapa selalu percaya kandungan buah-buahan menjadikan jus adalah alternatif menyihatkan berbanding minuman ringan tetapi hakikatnya, minuman popular kanak-kanak seperti Ribena dan Capri-Sun tidak mengandungi banyak buah sebaliknya gula.

Ribena, yang dilabel mengandungi jus buah-buahan asli dan bebas dari pewarna tiruan, perisa dan pemanis, mengandungi lapan sudu teh gula bagi setiap botol 330 milimeter yang menjadikan ia lebih manis berbanding Coca-Cola.

Minuman anggur hitam itu hanya mengandungi kira-kira enam peratus jus buah-buahan, lapor Daily Mail.

Sementara jus oren Capri-Sun mengandungi 10.8 gram gula setiap 100 milimeter manakala Coca-Cola yang selama ini menjadi sasaran kecaman kerana kekurangan zat mengandungi 10.6 gram gula bagi setiap 100 milimeter atau tujuh sudu teh bagi setiap tin.

Pakar kesihatan dan pemakanan menuduh pengeluar memperdaya ibu bapa supaya percaya jus adalah pilihan menyihatkan untuk anak mereka.

Anggota Dana Pendidikan Kesihatan, Joe Harvey, berkata: “Ada banyak minuman mengarut yang dikatakan baik untuk anda sebenarnya tidak banyak mengandungi jus dengan jumlah besar gula ditambah di dalamnya.

“Ia jelas satu kaedah bijak pemasaran dengan paparan perkataan jus pada banyak produk mengarut yang tidak mempunyai banyak jus di dalamnya.”

Dia berkata, keadaan itu tidak jelas bagi seseorang yang tidak menyedarinya atau tidak membaca label dengan berhati-hati tambahan pula ia selalunya tidak mudah difahami dan dicetak kecil.

Katanya, minuman seumpama itu boleh menjejaskan tabiat pemakanan mereka untuk beberapa tahun.

Minuman bergula boleh menyebabkan gigi reput, peningkatan berat badan malah mungkin menyebabkan kanak-kanak mengelak dari memakan buah sebenar yang tidak begitu manis.

“Kita menuju ke jalan menambahkan bilangan kanak-kanak yang terlampau gemuk pada tahap menakutkan,” katanya.

Sementara itu, pengeluar Ribena, GlaxoSmithKline, berkata minuman itu sebenarnya disasarkan kepada golongan dewasa berbanding kanak-kanak. – Agensi


No comments:

Post a Comment